Bendera dan Panji

Selepas penubuhan ATSNJ Sultan Abu Bakar bertitah direka bendera bagi ATSNJ sebagai tanda pengenalan, ketuanan serta memperkasa martabatnya.

WhatsApp Image 2024-01-28 at 4.04.55 PM

Komandan adalah pegawai tertinggi dalam organisasi ATSNJ. Bendera Komandan berwarna biru dengan penjuru kecil diatas yang dekat dengan tiang nya berwarna kuning dihiasi dengan bulan sabit dan bintang pecahan lima berwarna merah. Biru adalah warna Raja dan Negeri, kuning warna diraja, merah bermaksud keberanian. Bulan sabit dan bintang merupakan lambang agama Islam. Dibahagian bawah penghujung bendera terdapat lambang sebilah pedang bersilang dengan sebilah keris yang hulunya dicantum dengan jata bertulis “Timbalan Setia Negeri” dalam aksara Jawi. Lambang ini bermaksud Sultan Abu Bakar mengadunkan budaya dan fahaman Barat dan Timur dalam mentadbirkan negeri. Sebuah mahkota diletak dikemuncak lambang memberi makna Raja mengetuai ATSNJ.

Bendera ini dikibarkan setiap kali Komandan menghadiri majlis di ibu pejabat ATSNJ.

WhatsApp Image 2024-01-28 at 4.04.55 PM

Bendera ATSNJ adalah serupa dari ukuran dan warna dengan bendera komandant. Bezanya tidak ada lambang mahkota dipuncak keris dan pedang. Bendera ini dinaik dan dikibarkan dihadapan ibupejabat ATSNJ setiap hari bermula dari jam 6.00 pagi dengan tiupan begol ‘Reveille’, dan diturunkan pada waktu Maghrib dengan tiupan begol “The Last Post”.

WhatsApp Image 2024-01-28 at 4.04.55 PM (1)

Sultan Ibrahim mengurniakan panji-panji pada 11 Mei 1916 dalam satu istiadat di Bukit Timbalan bersempena 30 tahun penubuhan ATSNJ.

Panji-panji ATSNJ berupa bendera biru yang berambu. Dibahagian atas bendera ditulis dengan “Allah Peliharakan” dalam aksara Jawi. Dibahagian bawah mengandungi lambang sebilah pedang bersilang dengan sebilah keris dan bersambung dihulunya dengan jata bertulis “Timbalan Setia Negeri” dalam aksara Jawi. Sebuah mahkota diletak dikemuncak lambang itu, memberi maksud Allah Peliharakan Timbalan Setia Negeri. Pani-panji asal ini disimpan di Ibu pejabat ATSNJ.

Sultan Iskandar mengurniakan panji-panji baru dalam satu istiadat pada 20 Ogos 1986 di Padang Istana Besar bersempena sambutan 100 tahun penubuhan ATSNJ. Seramai 180 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diketuai oeh Kapten Dato’ Othman Daud selaku Naib Pegawai Pemerintah mengambil bahagian dalam istiadat tersebut.

Panji-panji ATSNJ dibawa oleh Pegawai Bendera dan diarak semasa perbarisan kawalan kehormatan dalam istiadat diraja termasuk istiadat sambutan ulangtahun hari keputeraan Tuanku, istiadat kemahkotaan Tuanku dan istiadat perasmian penggal persidangan Dewan Negeri.

Rujukan:

  1. Abdul Rahim Ramli “Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor”.
  2. ATSNJ.
  3. Enakmen Askar Timbalan Setia Negeri Johor No: 31, 1937.

Media sosial ATSNJ

ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR © HAK CIPTA TERPEPLIHARA 2024