JMF_Ibrahim-500x400
tsn-sultan-menunggang-kuda-500x400
SEJARAH

PENUBUHAN ATSNJ

Pada 11 Disember 1886 Maharaja Abu Bakar menandatangan Perjanjian Setia dengan kerajaan British di London. Selain dari mengiktiraf kemerdekaan Negeri Johor Kerajaan British mengiktiraf dan mengaku Maharaja Abu Bakar dan waris-waris gantian yang sah sebagai Sultan bagi Negeri dan Jajahan Johor.

Fasal 1 Perjanjian itu menyatakan kedua-dua kerajaan hendaklah berkerjasama memelihara muhibbah serta memberi perlindungan keselamatan terhadap rakyat dan penduduk dikawasan masing-masing, disamping mempertahankan jajahan mereka dari serangan luar.

Fasal tersebut memberi kuasa kepada Sultan Abu Bakar menubuhkan satu pasukan tentera. Sebelum dari itu pada tahun 1855 Temenggong Ibrahim telah menubuhkan satu pasukan polis yang dikenal sebagai Pasukan Setia untuk mengawal keselamatan di Iskandar Puteri.

Sultan Abu Bakar menyedari bagi mempertahan kemerdekaan Johor serta kesejahteraan rakyat satu pasukan askar yang berwibawa perlu ditubuhkan. Dalam minggu-minggu terakhir tahun 1885 Sultan Abu Bakar menubuhkan satu pasukan askar dibawah perintah Pesuruhjaya Polis Abdullah Tahir untuk membantu dan menimbal tugas pasukan polis yang telah ditubuhkan pada tahun 1958 oleh Temenggong Daeng Ibrahim untuk memberi perlindungan keselamatan dan menguatkuasa undang-undang di Iskandar Puteri. Dengan itu wujudlah nama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ).

Pada peringkat awalnya ATSNJ dianggotai 60 orang pemuda Melayu terdiri dari “orang dalam” iaitu mereka yang damping dengan istana diketuai oleh seorang anak Telok Belanga Syed Mohammad bin Nong Yahya. ATSNJ ditugas mengawal istana dan membendung jenayah dari semua bangsa tetapi mereka menghadapi kesulitan dari penduduk Melayu yang tidak takut akan mereka. Menyedari keadaan ini Sultan Abu Bakar membawa masuk 20 orang Kabul dari Afghanistan yang termasyur keberanian dan terlatih sebagai sentri untuk menjalankan tugas sebagai pengawal istana.

Pertambahan penduduk memaksa Sultan Abu Bakar mengubah strategi dengan menambah anggota Melayu dan dijadikan satu pasukan infantri. Anggota Kabul kekal sebagai pengawal istana. Sultan Abu Bakar menambah lagi anggota Kabul yang mempunyai kecekapan senjata meriam dan dijadikan pasukan artileri. Beberapa tahun kemudian Sultan Abu Bakar menubuh pasukan pancaragam dinamakan Johor Band. Nama ATSNJ yang mempunyai 270 anggota pada tahun 1895 kekal hingga tahun 1905 apabila Sultan Ibrahim memberi nama Inggeris Johore Military Forces (JMF) kepada ATSNJ, membezakannya dari Johor Volunteer Forces (JVF) yang Baginda tubuhkan tahun yang sama.

Pada tahun 1887 Sultan Abu Bakar melantik Kapten C.N.C Newland seorang pegawai dari 2nd Battalion South Irish Division Royal Artillery sebagai pegawai pemerintah. Dibawah pimpinan beliau ATSNJ banyak mencapai kejayaan dari segi ketenteraan.

Personaliti yang kurang menyenangkan dan keangkuhan pengganti Newland Kapten F. de Vere Creighton yang pernah berkhidmat sebagai Pengetua Siamese Military College menyebabkan ramai anggota berhenti kerana tidak puas hati dengan layanan diskriminasi-nya. Jumlah anggota menurun kepada 188 orang. Selepas Creighton melepaskan jawatannya Major Daud bin Othman dilantik untuk mentadbir urus ATSNJ.

Untuk tujuan memperkasakan ketuanan dan kedaulatan raja serta membantu pasukan polis mengawal keselamatan kontingen ATSNJ ditempatkan di daerah-daerah. Pada tahun 1890 satu kontingen termasuk 12 anggota Kabul pasukan artileri dibawah perintan Engku Othman dan Lt. Raja Ali ditempatkan bagi mengawal keselamatan Jajahan Muar dan Istana Tanjung di Fort Tanjong, Muar.

Dokumen Perjanjian Setia Yang Ditandatangani Oleh Sultan Abu Bakar Pada 11 Disember 1885

Selepas menaiki takhta pada tahun 1895 Sultan Ibrahim mengambil alih pengurusan ATSNJ sepenuh masa sebagai Kolonel Komandan. Dibawah kepimpinan Baginda ATSNJ bertambah cemerlang dan effisyen. Pada tahun 1901 Sultan Ibrahim diatas nasihat British melantik Mejar (kemudian Lt. Kolonel) Arthur C. Tompkins dari Royal Fusiliers dan Sargen (kemudian Kapten) Horace Cullimore dari Royal Marine Artillery untuk menghidupkan semula semangat anggota ATSNJ.

Tompkins yang gagal mencapai hasrat Sultan Ibrahim disarakan selepas berkhidmat tiga tahun. Cullimore diarah mengambil alih dan dibawah kepimpinan serta dayausahanya berjaya membangkitkan semangat ATSNJ dengan melengkapkannya dengan peralatan tentera moden dan canggih, latihan menembak yang kerap dan tersusun serta menjalani latihan bersama pasukan British.

Selepas Cullimore pegawai-pegawai Melayu yang berkaliber dan berkebolehan dilantik sebagai pegawai pemerintah, dibantu antara tahun 1928 hingga 1936 oleh empat pegawai tentera British sebagai penasihat dan pelatih.

Pada Disember 1915 Sultan Ibrahim menggubal Enakmen Johore Military Forces yang membolehkan ATSNJ berfungsi secara sahih mengikut undang-undang melaksanakan dasar dan prosedur pengambilan anggota, skim perkhidmatan, skim pencen, prosedur disiplin, peraturan pakaian dan lain-lain. Tangga gaji dan sara hidup yang lebih baik berjaya menarik ramai pemuda Melayu termasuk yang berpelajaran Inggeris menyertai pasukan ini.

ATSNJ terlibat dalam dua peperangan dunia sebagai menyempurnakan syarat dan kehendak Perjanjian Setia 1885.

Di atas kebijaksanaan pegawai-pegawainya serta kecekapan dan disiplin ATSNJ dan JVF, pemberontakan askar-askar India di Singapura telah dapat dipatahkan di mana pemberontak-pemberontak tersebut akhirnya telah meletak senjata di kaki Almarhum Sultan Ibrahim.

Sebagai pasukan askar bagi Negeri Johor yang berdaulat, setiap daerah dan jajahan di bawah takluk kekuasaan Sultan Johor telah ditempatkan kontinjen-kontinjen ATSNJ serta juga dibantu oleh JVF. Sehingga ke hari ini, bangunan yang digunakan sebagai pusat pengurusan Timbalan Setia Negeri terdapat di Pontian, Batu Pahat, Muar, Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi. Penempatan ATSN dan JVF di daerah-daerah ini memberi kesan yang bermakna bagi keamanan dan kestabilan Negeri Johor, serta memainkan peranan yang penting dalam lawatan Sultan Johor dan Kerabat-kerabat Diraja ke daerah-daerah.

ATSN SEMASA PERANG DUNIA PERTAMA

Semasa berlakunya Peperangan Dunia Pertama pada tahun 1914 ATSNJ mempunyai 576 anggota dan 86 anggota artileri Kabul. Sultan Ibrahim sebagai Kolonel Kommandan menghantar satu kontingen ATSNJ dan JVF mengawal kubu pertahanan British di Singapura iaitu di Tanglin, St. John’s Island, Woodlands, Kranji, Seletar dan Pulau Belakang Mati.

Pada 15 Februari 1915 seramai 199 anggota ATSNJ diketuai Kapten Cullimore ditugaskan mengawal Tanglin Barracks dimana rakyat German ditempatkan. Pada malam itu 800 anggota Sepoy (anggota Islam dalam India’s Fifth Light Infantry) yang bimbang dan enggan dihantar untuk pertempuran dengan anggota tentera Islam di Europah dan di Turkey menderhaka dan menyerang Tanglin Barracks. Dengan disiplin, ketabahan dan kecekapan pegawai dan anggota ATSNJ walaupun dengan bekalan peluru yang terhad serangan berjaya dipatahkan, tetapi mengorbankan Cullimore, Kapten Abdul Jabbar bin Abdul Samad dan Prebet Yaacob bin Salleh. Pada keesokan harinya Sultan Ibrahim mengetuai kontingen 150 orang anggota ATSNJ bergegas ke Fort Canning Singapura untuk memberi bantuan tetapi penderhaka telah lari ke Johor.. Sultan Ibrahim berpatah balik untuk mencari dan memberkas mereka. ATSNJ berjaya memberkas 180 anggota Sepoy yang kemudian menyerah diri dengan meletakkan senjatapi mereka dikaki Sultan Ibrahim yang tidak beresenjata, serta mencium tangan Baginda.

Anggota Sepoy menyerah diri dengan meletakkan senjata api mereka dikaki Sultan Ibrahim yang tidak bersenjata

ATSNJ SEMASA PERANG DUNIA KEDUA

Semasa Perang Dunia Kedua ATSNJ mempunyai 2000 anggota menjadikan Sultan Ibrahim mengetuai pasukan tentera bersenjata terbesar di Malaya. Sultan Ibrahim menerima nasihat kerajaan negeri supaya Baginda memakai gelaran Mejar Jeneral. Baginda bersama Mejar Jeneral Gordon Bennet dari angkatan tentera Australia merancang menghantar pasukan ATSNJ bersama pasukan tentera Australia untuk mempertahan benteng Kluang-Mersing-Kahang dan Kota Tinggi serta landasan kapal terbang di Tanjung Labuh Batu Pahat dan Kahang.

Pada 6 Januarai 1942 empat kompeni pasukan ATSNJ dibawah perintah Lt. Kol Musa bin Yusof dihantar mengambil alih tugasan pasukan tentera Australia mengawal peralatan komunikasi di Kota Tinggi serta menyiapkan benteng pertahanan disana. Apabila tentera Jepun mengebom Kota Tinggi dan Johor Bahru dua minggu kemudian GOC menasihatkan Sultan Ibrahim membubarkan ATSNJ memandangkan tentera Jepun telah melanda Malaya dan bergerak keselatan, dan tentera Komenwel di arah berundur ke Singapura. Pada awalnya Sultan Ibrahim enggan menerima nasihat itu tetapi akhirnya terpaksa membubarkan ATSNJ untuk menyelamatkan anggota dan keluarga mereka. ATSNJ yang mengawal Kota Tinggi, Mawai, Mersing, Lenggor dan Kahang di arah balik ke kampung halaman untuk keselamatan. Sultan Ibrahim mengakui anggota ATSNJ berat hati hendak mengundur, tetapi mereka menjunjung titah Baginda untuk pembubarannya.

ATSNJ SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 menghakiskan kuasa dan hak raja. Semua pegawai dan anggota ATSNJ ditamatkan perkhidmatan mulai 1 Julai 1946 dengan pampasan 5 bulan gaji. ATSNJ tidak lagi berfungsi. Hanya satu kompeni seramai 100 anggota sahaja yang dikekalkan. British berpendapat pangkat Mejar Jeneral dalam ATSNJ tidak lagi sesuai dan menukar dan menjadikan pangkat kehormat Mejar Jeneral Tentera British kepada Sultan Ibrahim.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948 pasukan ini kekal seramai 100 orang dan digelar “Sultan’s Own Bodyguards” mendatangkan kemurkaan dan bantahan Sultan Ibrahim. Kerajaan Persekutuan akhirnya bersetuju mengekalkan pasukan ini sebagai ATSNJ dengan 128 anggota.

Sejarah berulang apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk membubarkan ATSNJ berikutan pindaan Perlembagaan Persekutan pada tahun 1993 untuk mengenepikan lindungan imuniti perundangan serta menghakis kuasa dan hak istimewa Raja-Raja Melayu. Satu rang undang-undang “Johor Military Forces (Pembubaran dan Pemansuhan) 1994” bertujuan menghakis kuasa Sultan Johor dibentang di Parlimen. Walau bagaimanapun dengan pemikiran yang waras resolusi tersebut ditarik balik dan ATSNJ kekal sebagai ikon Johor.

Rujukan:

  1. Dato’ Hj.Mohd. Said – Buku Treati Johor Dengan Pertambahan nya oleh Major Dato’ Mohammad Said 1941 dicetak oleh Lembaga Malaya Press Ltd. Johor Bahru 1925
  2. Dato’ Hj. Mohd. Said – A Compilation of Treaties and Agreements Affecting the State and Territory of Johor, The Government Printing Office Johor 1925
  3. Surat Perjanjian Kerajaan Johor 11 Disember 1885 (Perjanjian Setia)
  4. Dato’ Hj. Mohd. Said – Hikayat Johor Yang Kedua Tawarikh YMM Sultan Ibrahim 1941
  5. Tunku Shahriman bin Tunku Sulaiman – The Johor Military Forces The Oldest Army of Malaysian Regulars in the Peninsula JMBRAS Dec 2004
  6. Nesamalar Nadarajah – Johor and The Origins of British Control – Arena Book Sdn Bhd. 21 June 2000
  7. M. Gullick – Rulers and Residents Influence and Power in the Malay States 1870-1920, Oxford University Press 1992
  8. Shahrom Husain – Sejarah Johor Kaitan nya Dengan Negeri Melayu – Penerbit Fajar Sakti Sdn. Bhd. 1995
  9. Buku Kenangan 100 Tahun ATSN 1886-1986, Johor Government Printer 1986
  10. The Johor Military Forces Enactment No. 31, Johor Government Printer 1937

Tidak Tercetak:

  1. Opinion on the Proposal to Amend the Johor Constitution Consequent to the Passing of the Constitutional Amendment Act 1993 – Saleh Abas, Yaacob and Sofiah Advocates and Solicitors, 29 October 1993
  2. Yahya Ahmad – Johor Military Forces dan Kolonel Komandan Sultan Ibrahim, Satu Kajian Tinjauan Kemasyarakatan 1885- 1942, Thesis di Jabatan Sejarah Universiti Malaya 1974/75
  3. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor – Talib Al-Da’a Johor Bahru 1952
  4. The Johor Military Forces (Disbandment and Repeal) Bill 1994, Dewan Rakyat 1994

 Akhbar:

  1. The Straits Times 28 July 1902 – “The Johor Forces”
  2. The Straits Times 17 November 1948 – “When the JMF Were Disbanded”
  3. The Straits Times 6 April 1942 – “Mutineers Laid Their Guns at Sultan’s Feet”
  4. The Singapore Free Press 16 September 1955 – “When the Japs Came”
  5. The New Straits Times January 27 1993 “Military Force Status Review at Exco Meeting”
  6. The New Straits Times 14 August 1993 – “End to Johor Military Forces. Muhyiddin: Sultan’s Private Army Will Be Disbanded.

Media sosial ATSNJ

ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR © HAK CIPTA TERPEPLIHARA 2024