Dato’ Haji Mohd. Said Haji Sulaiman
Dato’ Haji Mohd. Said Bin Haji Sulaiman dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura pada tahun 1876. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Teluk Belanga di samping mempelajari Al-Quran. Kemudiannya menyambung pelajaran Inggeris di Sekolah Inggeris Raffles. Beliau masuk berkhidmat dengan Kerajaan Johor pada tahun 1898 dan ditempatkan di pelbagai pejabat-pejabat kerajaan. Pada tahun 1910, beliau dilantik oleh Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Setiausaha Sulit Baginda, jawatan yang dipegangnya selama 42 tahun (1910-1952), satu rekod yang paling lama.
Mejar Dato’ Haji Mohd. Said melibatkan diri dalam Angkatan Tentera Johor (Johor Military Forces) atau Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) pada tahun 1914 sebagai Staff Officer. Beliau turut bergerak cergas dan ketika menjawat jawatan Setiausaha Sulit Sultan telah pun berpangkat Leftenan. Beliau banyak memberi sumbangan terhadap kemajuan ATSNJ. Di atas sumbangan-sumbangan itu, beliau telah dikurniakan pangkat ‘Mejar’, satu penghormatan yang tinggi. Nama beliau juga turut tercatat di dalam London Gazette, Mac 1918 kerana jasa-jasanya membantu pihak Inggeris dalam Peperangan Dunia Pertama 1914-1918. Kecergasan Mejar Dato’ Haji Mohd. Said bukan sahaja terhad kepada ATSNJ malah lebih jauh dari itu beliau telah menceburkan diri dalam lapangan bahasa dan persuratan Melayu. Jasanya yang besar dalam bidang ini ialah melalui Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (PBMPB, ditubuhkan pada tahun 1888). Pakatan ini telah mendapat surat kebebasan “Diraja” yang dikurniakan oleh DYMM Sultan Johor pada tahun 1935, dan peranan serta sumbangannya terhadap perkembangan Bahasa Melayu amatlah besar.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Mejar Dato’ Haji Mohd. Said adalah merupakan tokoh yang terpenting dalam memajukan kegiatan Pakatan ini. Pada saat buku-buku dalam Bahasa Melayu amat kurang, Pakatan menyediakan kemudahan ini, pada saat wujud keperluan untuk huraian-huraian tatabahasa, Pakatan tampil dengan kemudahan ini, di saat Bahasa Melayu memerlukan istilah-istilah baru, Pakatan mempunyai jawatankuasa istilah yang banyak di antaranya masih digunakan sehingga hari ini. Beliau telah mengarang berpuluh-puluh buah buku dalam pelbagai jenis tentang agama, sejarah, bahasa, sastera dan adat istiadat. Beliau meyusun buku tatabahasa dan kamus. Dinilai dari segi zaman dan jumlah karya yang dihasilkan dan dibandingkan dengan tokoh-tokoh lain yang sezaman dengannya. Dato’ Haji Mohd. Said muncul sebagai seorang tokoh yang luar biasa.
Sebagai seorang penulis dan ahli sejarah, beliau sentiasa merakamkan aktiviti-aktiviti ATSNJ bagi tatapan generasi kemudian. Kita amat bernasib baik dalam saat kita merayakan ulangtahun ke 100 Tahun ATSNJ, karya-karya yang diterbitkan itu telah banyak membantu kita dalam banyak hal.
Pada 27hb. Oktober 1955, waktu berusia 79 tahun, Mejar Dato’ Haji Mohd. Said meninggal dunia di Johor Bahru dengan meninggalkan banyak jasa dan bakti kepada Negeri Johor khasnya dan tanahair amnya.
Rujukan:
-
- Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
- ATSNJ.

