Dato’ Onn Jaafar
Dato’ Onn Bin Jaafar dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1895. Ayahandanya ialah Dato’ Jaafar Bin Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Sejak dari kecilnya beliau dipelihara oleh DYMM Almarhum Sultan Ibrahim. Beliau dididik secara timur dan barat (pernah dihantar menuntut di England) serta menerima didikan Islam. Dengan asuhan dan didikan ini, tertanam di sanubari dan jiwanya perasaan hidup berkeluarga dan bermasyarakat, semangat cintakan negara dan tanahair di samping semangat kebangsaan yang sentiasa mengalir dengan suburnya.
Pada 5hb. Julai 1917, Dato’ Onn mulai berkhidmat sebagai Kadet dengan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) sehinggalah dengan dedikasi dan ketabahannya menghadapi kehidupan sebagai seorang tentera telah berjaya dinaikkan ke pangkat Leftenan. Sesungguhnya asuhan dan didikan serta disiplin tentera yang tinggi menjadikan Dato’ Onn seorang yang berani, berkeyakinan dan tegas serta cekal dan tabah. Nilai-nilai moral yang tinggi ini terus menerus berkobar dan di saat-saat bangsa Melayu hampir-hampir kehilangan hak dan maruah, di waktu orang-orang Melayu hendak dijadikan ‘orang dagang’ di tanahairnya sendiri oleh penjajah Inggeris akibat dari gagasan Malayan Union 1946, Dato’ Onn muncul memimpin orang-orang Melayu menentang dan seterusnya berjaya menumbangkan Malayan Union.


Putera Johor yang berjasa besar ini merupakan seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang unggul. Beliau terkenal sebagai pengasas UMNO dan sewaktu UMNO ditubuhkan pada 11hb. Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, beliau terpilih sebagai Yang Dipertua UMNO yang pertama. Pada 1hb. Oktober 1946, Dato’ Onn dilantik sebagai Menteri Besar Johor tetapi meletakkan jawatan pada awal tahun 1950.
Dalam lain-lain bidang, Dato’ Onn merupakan antara wartawan-wartawan yang terkemuka di ketika kebangkitan perbahasan mengenai nasionalisme Melayu mula bercambah. Beliau merupakan pengarang dan penulis akhbar Warta Malaya dan Lembaga Malaya di mana pandangan yang penuh kritikal sentiasa menjadi tumpuan masyarakat untuk beberapa tahun. Antara kenangan peninggalannya ialah ‘Selamat Johor’ tahun 1936 dan terjemahan Hikayat Seribu Satu Malam yang berjudul AL FA LAILA WALAILA. Ketajaman tulisannya berterusan melalui akhbar mingguan KRITIK pimpinan beliau. Beliau adalah pemidato yang handal dan petah dan sewaktu menjadi Ahli Parlimen sebelum beliau meninggal merupakan ahli yang sangat dihormati dan disegani oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Pada 19hb. Januari 1962, patriot bangsa yang terkenal itu meninggal dunia di Johor Bahru. Kepulangannya ke alam yang abadi telah diberikan penghormatan negara. Dalam perjalanan ke persemadian yang terakhir, anggota-anggota dan pegawai-pegawai dari Angkatan Bersenjata Tanah Melayu termasuk dari ATSN Johor turut mengiringi jenazah beliau.
Sesungguhnya putera Johor yang telah banyak menimba pengalaman dari ATSNJ ini merupakan seorang patriot negara yang mana semangat, dedikasi dan prinsip-prinsip hidupnya merupakan harta khazanah yang patut diwarisi oleh seluruh bangsa di Malaysia. Emas dan ringgit tidak dapat menandingi ‘treasure’ peninggalannya itu.
Rujukan:
- Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
- ATSN.
- Shahrom Husain – Sejarah Johor, Kaitan nya Dengan Negeri Melayu, Penerbit Fajar Sakti Sdn. Bhd. 1995.

