Istiadat Meletak Kerja

2I3A9770 (1)-2

Dalam sejarah kesultanan Johor setiap istiadat diraja dimulakan dengan istiadat meletak kerja dimana dibaca doa untuk mendapat restu Allah SWT serta perlindungan dan keselamatan sepanjang istiadat dijalankan. Dalam tahun 1878 Maharaja Abu Bakar mengilhamkan bendera istiadat yang dikibarkan beberapa hari sebelum istiadat bermula. Perlakuan ini dinamakan Istiadat Meletak Kerja. Bendera ini diturunkan seminggu selepas tamat perayaan.

Kali terakhir istiadat ini diadakan adalah pada tahun 1922 sempena istiadat perkahwinan YAM Tunku Temenggong Ahmad Ibni Sultan Ibrahim.

Bagi menjunjung titah pada 19 November 2012 telah dihidupkan semula istiadat ini bagi menyambut ulangtahun hari keputeraan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Muar serta menamakan Bandar Maharani Bandar Diraja.

DYMM Tuanku berkenan istiadat meletak kerja bagi kemahkotaan Tuanku dan istiadat-istiadat diraja seterusnya diadakan di kawasan Tugu Peringatan di Taman Botani DiRaja Istana Besar. Tiang bendera adalah 60 kaki tinggi. Bendera istiadat berukuran 10’x20’.

Seorang Pegawai Waran ATSNJ mengetuai pasukan 9 anggota lain-lain pangkat (kumpulan bendera), serta 5 anggota pancaragam (kumpulan dram tambor) dan 5 anggota pancaragam (kumpulan peniup begol) mengambil bahagian dalam istiadat itu. Kumpulan bendera berjalan perlahan membawa bendera istiadat diiring pasukan begol dan side dram. Kumpulan bendera kemudian mengikat bendera istiadat ditali tiang bendera.

Istiadat dimulakan dengan Dato’ Penghulu Istiadat membaca perisytiharan, diikuti dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan.

Kumpulan tambor membuat dram roll di iring tembakan pertama dari 7 das oleh pasukan meriam. Bendera dinaikkan secara perlahan diikuti dengan tiupan begol “Reveille”, diiringi 6 das lagi tembakan meriam. Tiupan begol dan tembakan meriam berhenti sebaik sahaja bendera sampai dikemuncak.

Kumpulan bendera memberi tabik semasa bendera dinaikkan.

Istiadat menurunkan bendera diadakan seminggu selepas istiadat dalam majlis yang sederhana, iaitu selepas Dato’ Penghulu Istiadat membuat pemasyuran dan Mufti membaca doa. Bendera Istiadat diturunkan diiring dram roll, tiupan “The Last Post” dan tembakan 3 das meriam. Bendera dilipat dan diserahkan kepada Dato’ Penghulu Istiadat.

 

Sumber:

  • Dato’ Hj.Mohd. Said “Tawaikh Johor Yang Kedua”
  • Abdul Rahim Ramli “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012”
  • Ibu Pejabat ATSNJ
letak-kerja-top-01
letak-kerja-top-02

Galeri Gambar

Media sosial ATSNJ

ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR © HAK CIPTA TERPEPLIHARA 2024