Istiadat Pemakaman Diraja
Pemakaman jenazah diraja dilaksanakan dengan penuh hormat mengikut kehendak agama Islam dan ritual adat dan budaya Melayu. Tugas-tugas yang melibatkan kerajaan dan ATSNJ bermula sebaik sahaja berita rasmi kemangkatan diterima.
ATSNJ terlibat secara langsung dalam tugasan pemakaman Raja dan Kerabat Damping seperti berikut:
- Dua belas orang pegawai dan anggota lain-lain pangkat bertugas sebagai Pasukan Pengusung Jenazah Diraja.
- Seorang Kopral dan 12 prebet bertugas sebagai Pengawal Penjaga secara bergilir, iaitu 4 orang bertukar setiap 30 minit. Pengawal berdiri diempat penjuru peterana khas dalam keadaan bertafakur, iaitu berdiri tegak dengan senjata junam, kepala tunduk, tangan kiri di atas tangan kanan dan diletakkan diatas udi senjata, dan benet diletakan di hujung but kiri.
- Satu platun Pengiring Jenazah terdiri daripada seorang pegawai dan 30 lain-lain pangkat berbaris dihadapan pedati. Pengiring Jenazah berjalan perlahan dengan senapang songsang, manakala pegawai dengan songsang pedang
- Satu pasukan terdiri dari seorang pegawai, 3 sarjan dan 54 anggota lain-lain pangkat menarik pedati. Pegawai berjalan dihadapan dengan songsang pedang. Dua orang sarjan bertugas sebagai ketua penarik kiri kanan pedati. Seorang sarjan dan seorang prebet sebagai pemandu pedati. Seramai 40 anggota lain-lain pangkat iaitu 20 sebelah sebagai penarik tali pedati berjalan perlahan dari Istana Besar hingga ke Mahmoodiah
- Pegawai dan anggota Platun Pengiring Jenazah berbaris dijalan masuk ke makam untuk penghormatan terakhir
- Pasukan Pengusung menyambut keranda diraja dari pedati dan diusung ke bangunan Makam Diraja
- Anggota ATSNJ membantu menurunkan keranda diraja kedalam liang lahad
- Anggota ATSNJ hadir dalam majlis tahlil yang diadakan semasa waktu berkabung pada tiga hari pertama, ke7, 20 dan hari 100.
(Dalam Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Iskandar, pasukan penarik pedati dianggotai oleh 25 anggota ATSNJ disebelah kanan dan 25 anggota Gerup Gerak Khas disebelah kiri. Almarhum adalah Kolonel kehormat Gerup Gerak Khas)
Selain itu ATSNJ membantu melaksanakan tugas pengkebumian lain-lain kerabat dan orang kenamaan di atas titah DYMM Tuanku.
Rujukan:
- Abdul Rahim Ramli “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012”.
- Dato’ Hj.Mohd Said “Hikayat Johor yang Kedua”.
- Kapten Jalalludin Hamsan “Istiadat Kawad Jenazah oleh ATSN 2010”.



