Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku

Dalam sejarah kesultanan Johor Sultan Abu Bakar menyambut Hari Kerajaan iaitu ulangtahun hari Baginda menaiki takhta kerajaan. Kali terakhir Baginda menyambutnya adalah di Istana Tanjong, Muar dalam tahun 1895.
DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan yang jatuh pada 22 November diadakan pada 23 Mac oleh sebab keadaan cuaca yang tidak menentu pada bulan November.
Seramai 105 Pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATSNJ mengambil bahagian dalam perbarisan kawalan kehormatan.
Keberangkatan tiba DYAM Tunku Mahkota disambut dengan Tabik Hormat Mahkota.
Pasukan Pancaragam mengandungi 35 anggota memainkan Lagu Bangsa Johor empat kali dalam istiadat itu:
- Ketika menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku.
- Semasa pasukan kawalan kehormatan memberi tabik Hormat Diraja selepas DYMM Tunku tamat pemeriksaan perbarisan.
- Sebelum DYMM Tuanku bersemayam di atas takhta.
- Sebelum DYMM Tuanku berangkat balik menandakan tamat majlis.
Selain dari itu seramai 50 pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATSNJ bertugas semasa Majlis Jamuan Teh Rakyat yang diadakan disebelah petang di Dataran Bandaraya. Pancaragam ATSNJ menyambut keberangkatan tiba dan balik DYMM Tuanku dengan Lagu Bangsa Johor. Pancaragam turut menghiburkan majlis dengan lagu-lagu pilihan.
Selain daripada Istiadat di Istana Besar, Perbarisan Kawalan Kehormat ATSNJ juga membuat Istiadat sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku di Bandar DiRaja Muar sebanyak dua kali iaitu pada 22 November 2012 dan 22 November 2013.
Rujukan:
- Dato’ Abdul Rahim Ramli “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012”.
- Jumaah Majlis DiRaja “Aturcara Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku”.
- ATSNJ.

