JENERAL (B) TUN IBRAHIM ISMAIL
Sesungguhnya tidaklah dapat dinafikan bahawa Timbalan Setia Negeri Johor (TSNJ) merupakan sebuah institusi tentera yang bukan sahaja mengasuh dan mendidik anggota-anggotanya dengan disiplin ketenteraan yang tinggi malah lebih jauh dari itu berperanan menyemai semangat keperwiraan kepada anak-anak Melayu Johor di samping turut menyuburi semangat perjuangan dengan penuh keberanian. Salah seorang daripada anggota TSNJ yang telah memperlihatkan keberanian yang cemerlang ialah Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Ibrahim Bin Ismail, bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia.
Anak Johor yang dilahirkan pada bulan Obtober 1922 itu telah menerima pendidikan awalnya di English College Johor Bahru. Selepas tamat persekolahan, beliau menyertai TSNJ pada tahun 1941 sebagai Pegawai Kadet. Setelah beberapa bulan, beliau dihantar ke Akademi Tentera India di Dehra Dun, satu-satunya Akademi Tentera yang terkenal. Turut sama di dalam kumpulan ini ialah bekas Perdana Menteri Malaysia Ketiga, Yang Amat Berhormat Tun (Kapten) Hussein Onn dan Yang Berhormat Mulia Jeneral (B) Ungku Haji Ahmad Bin Abd. Rahman.
Semasa menjalani latihan di Akademi Tentera tersebut, berita perpecahan Perang Dunia Kedua telah diterima di mana Tanah Melayu juga turut menjadi sasaran pihak musuh (Jepun) yang mana akhirnya Tanah Melayu telah ditawan oleh mereka. Dalam suasana yang genting ini, ketiga-tiga pegawai di atas terpaksa menyingkatkan tempoh latihan mereka. Jeneral Tan Sri Dato’ Ibrahim telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan ditempatkan di 10 dan 25 Rejimen Hyderabad Ke 19.

Setelah berkhidmat dengan rejimen tersebut untuk beberapa waktu, beliau ditukarkan pula ke Force 136 Ceylon Command. Melalui Force 136 inilah beliau dengan aktifnya menyertai gerakan kapal selam antara Ceylon dan Malaya, menentang Jepun pada tahun 1944. Dalam tahun yang sama, beliau diterbangkan ke Terengganu mengetuai sekumpulan kecil tentera bagi menubuhkan pasukan pejuang tempatan. Dalam gerakan ini, beliau tertawan tetapi semangat seorang perwira bukanlah sebegitu mudah untuk tunduk kepada musuh. Dengan penuh ketabahan dan keberanian, beliau telah berjaya melepaskan diri dan menggabungkan dirinya dalam Pasukan Pejuang Melayu (Wataniah) di Pahang selaku Pegawai Perhubungan Kumpulan. Pahang yang merupakan bumi perwira-perwira Melayu, warisan dari pejuang-pejuang seperti Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan, Mat Kilau dan ramai lagi yang menjadi barisan penentang penjajah yang berani memberikan semangat yang kukuh kepada perjuangan Jeneral Tan Sri Dato’ Ibrahim Ismail dalam menyusun pelbagai strategi bagi menghadapi musuh. Peranan yang disumbangkan oleh Pasukan Pejuang Melayu Pahang dan Force 136 ini memperlihatkan keberanian yang cemerlang yang seharusnya dicontohi oleh generasi kini.
Pada bulan Jun 1946, apabila diadakan satu sambutan raksaksa bagi menyambut kemenangan Pihak Berikat yang dikenali dengan sambutan ‘Victory Parade’, Jeneral Tan Sri Dato’ Ibrahim Ismail telah dipilih untuk turut sama dalam Perbarisan Kemenangan di London di mana beliau telah bertindak selaku Penolong Pegawai Pemerintah. Pengiktirafan yang diperlihatkan oleh pihak-pihak yang berkenaan itu jelas membuktikan bahawa jasa-jasa dan keberanian yang ditunjukkan oleh beliau semasa perang menggambarkan bahawa semangat perjuangan dan keberanian anak-anak Melayu adalah mencerminkan watak dan sifat keperwiraan yang sedia diwarisi dari pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu. Setelah berhenti dari Tentera India dengan berpangkat Mejar, beliau kemudiannya berkhidmat pula dengan Pasukan Sukarela Negeri Johor.
Karier hidupnya diwarnai dengan penglibatan beliau di dalam politik UMNO di mana beliau turut sama memimpin barisan Perikatan Pemuda UMNO pada tahun 1948 selaku Penolong Ketua Perikatan Pemuda UMNO Malaya, suatu jawatan yang berat bagi menyusun kekuatan pemuda UMNO ketika itu. Pengalamannya sewaktu perjuangan semasa Perang Dunia banyak memberi kesan positif terhadap kemantapan dan perkembangan UMNO amnya dan Perikatan Pemuda khasnya.
Semangat terhadap tentera sentiasa membara dan beliau kemudiannya melibatkan diri dalam Askar Melayu pada 11hb. Mac 1951 dan berterusan memanjat tangga-tangga kejayaan sehinggalah menjawat jawatan yang tertinggi selaku Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia.
Setelah sekian lama usianya diabdikan kepada agama, bangsa dan negara dengan penuh rasa terharu dan bersyukur, Jeneral Tan Sri Dato’ Ibrahim Ismail, mengundur diri, berpisah untuk bersara dengan meninggalkan jasa-jasa yang cemerlang pada bulan Oktober 1977.
Rujukan:
-
- Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
- ATSNJ.

