Kapten (B) Osman Daud
Kapten (B) Osman Bin Daud lahir di Batu Pahat pada tahun 1913. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bandar Penggaram dan Govt. English School, Batu Pahat. Setelah tamat pada tahun 1928, beliau bekerja di Pejabat Ukur Batu Pahat.
Pada bulan Mac 1933, beliau menyertai Pasukan ATSNJ selaku Prebet dan ditempatkan di Unit ‘Mesen Gun’. Sebagai seorang anggota yang gigih, dedikasi serta menumpu penuh taat setianya kepada pasukan ini, beliau berjaya memanjat tangga kejayaan dengan kenaikan pangkat bermula dari tahun 1935 sebagai Lans Koperal dan seterusnya mencapai pangkat Kapten pada tahun 1963 sehingga bersara pada 1968.
Dalam perkhidmatannya, beliau menyumbangkan jasanya kepada ATSNJ dengan mengikuti pelbagai pertandingan menembak. Pada tahun 1937, beliau menyertai pasukan menembak ATSNJ unit ‘Mesen Gun’ dan pasukan ini memenangi ‘TALALA SHIELD’. Peserta-peserta lain datang dari Burma, Siam, Singapura dan beberapa buah negeri di Tanah Melayu. Beliau juga ikut serta di dalam perbarisan-perbarisan kerana Sambutan Hari Jadi King di Singapura hampir setiap tahun yang mana pasukan perbarisan ATSNJ sentiasa mendapat perhatian dan pujian kerana kekemasan, rancak, tampan dan disiplin yang tinggi.
Apabila berita serangan tentera Jepun (1941) diterima, anggota-anggota ATSNJ diminta bantuan oleh pihak Inggeris dan Kapten Osman Bin Daud turut sama memberikan khidmat menyediakan kawalan dan membina kubu-kubu di lapangan terbang kecil di Jamaluang, Kluang dan Tanjung Labuh di Batu Pahat.
Memandangkan sumbangan beliau terhadap ATSNJ, Kapten Osman Bin Daud (ketika itu berpangkat C.S.M) telah terpilih untuk mewakili Pasukan ATSNJ ke satu perbarisan raksaksa di London, apa yang disebut ‘Victory Parade’ pada 8hb. Jun 1946, bersama-sama dengan empat orang lain anggota dari ATSNJ. Pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Inggeris atas sumbangan dan peranan ATSNJ sesungguhnya menambahkan lagi kecemerlangan sumbangan ATSNJ. Dalam perbarisan tersebut, kontinjen ATSNJ turut sama berbaris dengan askar-askar dari berpuluh-puluh buah negara lain yang mana jumlahnya mencapai hampir 21,000 orang askar. Baginda King George sendiri turut memberi penghormatan. Pada waktu itu, turut sama menyaksikan perbarisan ialah Almarhum Sultan Ibrahim sendiri. Sewaktu di London, Kapten Osman Bin Daud berpeluang bercakap di corong radio BBC London dan mendapat tempat ke-4 dalam satu pertandingan mengarang dari hal pengalamannya sewaktu di London.
Pada tahun 1951, beliau terpilih mengikuti kursus ‘Jungle Training’, menjadi guru kawad dan berpeluang mengikuti kursus di Unit Meriam, Belakang Mati, Singapura pada tahun 1959.
Pada tahun 1968, beliau bersara dari ATSNJ.
Rujukan:
-
Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
-
ATSNJ.

