Lans Koperal Ahmad Abdullah
Salah seorang anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) yang diberi penghormatan menyertai ‘Victory Parade’ di London pada 8hb. Jun 1946 ialah Lans Koperal Ahmad Bin Abdullah. Beliau dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1912 dan menerima didikan di Sekolah Melayu dan Inggeris di bandar ini. Ayah beliau, Sarjan Mejar Abdullah Bin Mohamad juga pernah berkhidmat dengan ATSNJ pada tahun 1924. Minatnya yang mendalam dalam karier tentera meruntun jiwanya dan dengan galakan dan semangat yang diterima dari ayahnya, beliau telah menyertai ATSNJ pada tahun 1935. Sebagai anggota yang taat setia, beliau menumpahkan khidmatnya dengan penuh dedikasi dan melibatkan dirinya dalam pelbagai aktiviti pasukannya.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, beliau turut sama dengan lain-lain anggota menjalankan operasi-operasi yang diarahkan oleh pegawai-pegawainya. Peranan yang diperlihatkan olehnya dalam masa kemaraan pihak musuh ke Tanah Melayu sentiasa diperhatikan oleh pegawai-pegawai atasannya. Apabila tamat peperangan, Lans Koperal Ahmad Bin Abdullah telah terpilih mewakili ATSNJ ke Perbarisan Kemenangan yang diadakan secara besar-besaran di London pada bulan Jun 1946. Sesungguhnya kehadiran beliau di London telah turut menambahkan

imej ATSNJ yang memang sedia dikenali bukan sahaja di rantau tanahair Semenanjung Tanah Melayu sahaja bahkan turut disegani dan dihormati oleh lain-lain Pasukan Tentera dari berpuluh-puluh buah negara yang turut dalam perayaan menyambut kemenangan yang besar ertinya kepada kedamaian dunia. Sewaktu di London, kontinjen ATSNJ turut mendapat penghormatan dari King George VI apabila baginda sendiri membuat lawatan dan beramah mesra dengan askar-askar termasuklah Lans Koperal Ahmad Bin Abdullah.
Pada tahun 1948, beliau mengubah haluan kerjayanya dengan menyertai pasukan polis dan seterusnya menganggotai Pasukan Pengawal Kampung (Home Guard) pada tahun 1950. Bidang yang diceburi ini merupakan sesuatu yang mencabar kerana pasukan ini sering berhadapan dengan pihak komunis yang mengganas pada masa darurat di Tamah Melayu (1948-1960). Lans Koperal Ahmad Bin Abdullah mengakhiri khidmatnya dalam pasukan Home Guard dengan mencapai pangkat Inspektor.
Pada 20hb. Mei 1986, beliau meninggal dunia di rumahnya di Kampung Skudai, Johor Bahru setelah mengabdikan sebahagian besar usianya dalam bidang ketenteraan dan keselamatan.
Rujukan:
-
Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
-
ATSNJ.

