Leftenan Kolonel Musa Yusuf

Leftenan Kolonel Musa Yusuf dilahirkan pada 2hb. Mac 1889. Beliau adalah cucu kepada Dato’ Bentara Luar, ayahnya ialah Pegawai Kanan Kerajaan dan jawatan terakhir ialah sebagai Pesuruhjaya Tanah dan Galian Johor. Leftenan Kolonel Musa adalah keturunan Panglima Perang Johor. Atas warisan semangat kepahlawanan itu juga, datuk beliau Mohamad Salleh Bin Perang dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Johor yang pertama.

Leftenan Kolonel Musa Yusuf mendapat didikan sekolah agama, sekolah Melayu dan Inggeris. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Kerani di Pejabat Menteri Besar Johor pada 1hb. Januari 1914. Pada 16hb. Mac 1915, beliau dipilih menjadi Kadet ATSNJ. Setelah tamat latihan, beliau dikurniakan pangkat Leftenan Muda dan seterusnya kerana ketabahan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan tentera yang baik, beliau terus memanjat pangkat hinggalah pada 9hb. April 1919, beliau dinaikkan ke pangkat Kapten sewaktu berusia 31 tahun. Pada tahun 1939, beliau dinaikkan ke pangkat Mejar dan terakhir sekali dikurniakan pangkat Leftenan Kolonel.

Sewaktu Jepun sedang mara ke Tanah Melayu, beliau ketika itu menjadi Pegawai Pemerintah ATSNJ di Mersing. Di sinilah beliau telah memperlihatkan ketokohannya sebagai seorang pemimpin tentera yang tabah dan berani bagi mengawal kawasan yang merintangi Jamaluang, Kluang dan Yong Peng.

Semasa menjalankan tugas di Mersing, beliau banyak menumpahkan jasa baktinya bukan sahaja kepada TSNJ malah kepada pembangunan daerah Mersing sendiri.

Di samping kerjayanya sebagai seorang askar, Leftenan Kolonel Musa Yusuf juga merupakan seorang budayawan, ahli bahasa dan penulis yang terkenal. Dalam bidang seni, beliau merupakan tokoh ghazal yang menempah nama sebagai Bapa Ghazal Johor dan mencipta lagu-lagu yang hingga kini masih popular seperti Sri Mersing.

Dalam politik UMNO, beliau turut cergas dan merupakan salah seorang yang aktif dalam masa penubuhan UMNO dan selepasnya.

Rujukan:

  1. Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
  2. ATSNJ.

Media sosial ATSNJ

ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR © HAK CIPTA TERPEPLIHARA 2024