Mejar (B) Dato’ Tengku Abd. Jalil Mohd. Noor
Diteliti dari sejarah pasukan tentera di negara kita, maka Askar Timbalan Setia Negeri Johor(ATSNJ) dapat dianggap sebagai sebuah pasukan tentera yang tertua di negara ini. Peranan dan sumbangannya amatlah besar. Satu demi satu ATSNJ melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang telah membuktikan keupayaan dan kebolehan mereka menyumbangkan jasa bukan sahaja kepada negeri Johor tetapi amnya kepada negara.
Antara pemimpin-pemimpin tentera dari ATSNJ yang kini telah berusia 100 tahun ialah Yang Berhormat Mulia Mejar (B) Dato’ Tengku Abd. Jalil Bin Mohd. Noor. Beliau dilahirkan di Batu Pahat pada 21hb. Januari 1921 dan mendapat pendidikan di Sekolah-Sekolah Melayu, Agama dan Inggeris di Batu Pahat.
Pada tahun 1940, beliau menyertai ATSNJ selaku Pegawai Kadet dan kemudiannya dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India. Sewaktu Perang Dunia Kedua, beliau pulang ke tanahair dan menyambung khidmat dengan ATSNJ, bertugas di beberapa kawasan yang dianggap strategik seperti lapangan terbang di Kahang, Kluang, Segamat dan Jamaluang. Beliau juga turut membina kawalan di Pulau Tioman yang terletak di perairan Lautan Cina Selatan.
Setelah tamat peperangan, Mejar Tengku Abd. Jalil menyambung semula khidmatnya dengan ATSNJ dengan aktifnya, terus menerus sehinggalah memanjat tangga-tangga kejayaan dengan menjawat jawatan Pegawai Pemerintah. Pada tahun 1981, beliau bersara dari ATSNJ.
Rujukan:
-
Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
-
ATSNJ.

