
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR,
D.K, S.P.M.J, S.S.I.J, S.M.I.J, P.I.S, P.S.I.
SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana saya dapat memberi perutusan dalam Portal Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Ditubuhkan 130 tahun lalu pada 11 Disember 1885 Askar Timbalan Setia Negeri Johor termashyur sebagai institusi tentera yang terulung ditubuhkan di Negara kita dan peranan nya masih kekal relevan dalam era moden. Selain dari memberi latihan ketenteraan ATSN juga megutamakan disiplin, kejujuran dan kewibawaan serta membina semangat taat setia dan jatidiri anggotanya. Institusi ini telah melahirkan bijakpandai dan pemimpin berwibawa dalam perkhidmatan kerajaan negeri dan Negara.
Portal ini sangat berguna dan boleh dijadikan sumber rujukkan khasnya kepada rakyat saya Bangsa Johor mengenali lebih dekat akan peranan dan tanggungjawab Askar Timbalan Setia Negeri Johor memartabatkan kedaulatan Kesultanan Johor disamping menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Johor. Secara tidak langsung rakyat saya dapat menghayati sejarah kegemilangan Johor yang boleh dijadikan asas kehidupan dan masa depan yang cerah dan berpotensi tinggi.
Adalah diharapkan melalui Portal ini rakyat akan dapat menilai dan menghargai jasa, khidmat bakti dan pengorbanan Askar Timbalan Setia Negeri memberi perlindungan keselamatan serta mempertahankan kedaulatan Johor. Mudah mudahan dengan semangat patriotisme ini rakyat saya akan berganding bahu menambah azam memajukan Negeri Johor Darul Ta’zim.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKTUH

