Tun Hussein Onn

Seorang lagi anak watan Johor yang telah turut menjulang nama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) ialah Tun (Kapten) Hussein Onn, bekas Perdana Menteri Malaysia Ketiga (1976-1981). Kehadiran beliau di dalam ATSNJ menjadikan beliau seorang yang berdisiplin tinggi serta tegas dan tabah dalam menghadapi pelbagai pancaroba dan cabaran dalam kariernya sebagai seorang askar, peguam dan seterusnya pemimpin yang berjaya membawa beberapa perubahan kepada negara.
Tun Hussein Onn dilahirkan di Johor Bahru pada 12hb. Februari 1922. Beliau mendapat pendidikan di English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Setelah tamat persekolahan, beliau menyertai ATSNJ selaku Pegawai Kadet. Kemudiannya beliau dihantar ke Akademi Tentera India di Dehra Dun, sebuah Akademi Tentera yang terkenal di India. Bersama-sama beliau turut dihantar ialah Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dan Jeneral (B) Dato’ Ungku Haji Ahmad Bin Ungku Abd. Rahman. Dalam jangka masa latihan ini, Perang Dunia Kedua meletus di mana Tanah Melayu turut ditawan oleh Jepun.
Setelah tamat kursus, Tun Hussein Onn telah dihantar berkhidmat di dalam Rejimen 19 Hyderabad dan setelah bertugas selama 9 bulan, beliau dihantar pula ke Mesir. Dari Mesir beliau ditugaskan pula ke Syria berkawal di antara sempadan Turki dengan Syria. Setelah bertugas selama 4 bulan, Batalion Hyderabad ini ditugaskan pula ke Iraq dan kemudiannya ke Iran.
Pada tahun 1943, Tun Hussein Onn ditugaskan kembali di Pejabat ‘Malayan Bureau’ yang berperanan menyusun strategi untuk menyerang Jepun di Tanah Melayu. Kemudiannya pihak British membuka ‘Malayan Police Training Depot’ di Rawalpindi dan beliau ditugaskan di depot ini selaku Kapten.
Pada bulan Ogos 1945, Tun Hussein Onn berlepas dari Madras bertujuan mendarat di Morib untuk menyerang Jepun tetapi apabila berita Jepun menyerah kalah, beliau lantas ke Rangoon dan akhirnya pada 13hb. September 1945, beliau selamat mendarat di Singapura. Beliau kemudiannya dilantik sebagai ‘Officer Commanding Police Depot’ Johor Bahru. Tun Hussein Onn menimba banyak pengalaman sekembalinya ke Tanah Melayu. Beliau pernah menjadi Pegawai ‘Home Guard’ Negeri Johor di mana beliau memimpin hampir 10,000 pengawal kampung. Beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor, Klang dan Segamat. Oleh kerana menghargai perkhidmatannya di dalam angkatan bala tentera Pihak Berikat, Tun Hussein Onn telah dikurniakan bintang M.B.E. (Military).
Dalam politik negara, beliau telah menjejak langkah ayahandanya (Allahyarham Dato’ Onn Jaafar) dan turut sama bekerja keras dalam usaha-usaha menubuhkan UMNO yang kemudiannya dirasmikan kelahirannya di Istana Besar, Johor Bahru pada 11hb. Mei 1946. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung UMNO. Kegiatannya di dalam politik telah menempah namanya di mana akhirnya beliau dilantik menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga (1976-1981).
Sesungguhnya benih-benih keperwiraan dan kekentalan semangat nasionalisme yang terpupuk di peringkat awal penglibatannya dengan ATSNJ turut memantapkan kepimpinannya dalam pelbagai karier yang sempat diceburi dan terakhir sebelum mengundurkan diri dari politik. Beliau telah mengabdikan dirinya demi agama, bangsa dan negara di mama limpahan manfaatnya turut dinikmati oleh negara amnya dan rakyat Johor khasnya.
Rujukan:
- Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor, BUKU PAMERAN SEJARAH SEMPENA PERAYAAN SERATUS TAHUN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR 1886 – 1986 DI DEWAN JUBLI INTAN JOHOR BAHRU, 19 hb. & 22 hb. OGOS 1986.
- ATSNJ.



