Unit Pancaragam
Pancaragam ATSNJ ditugaskan untuk memainkan Lagu Bangsa Johor di atas keberangkatan tiba dan keberangkatan balik DYMM Sultan Johor dalam istiadat diraja dan majlis rasmi kerajaan, ketika meyambut seruan pemasyuran Sultan baru, dan semasa Sultan memakai mahkota dalam Istiadat Kemahkotaan.

SEJARAH
Unit ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Dalam lawatan ke Calcutta pada tahun 1876 Maharaja Abu Bakar tertarik kepada pancaragam peribadi raja India. Sekembalinya ke Johor Baginda menubuhkan pancaragam sendiri, dan pada tahun 1882 melantik seorang pemuzik Belanda bernama Mackertich Galistan untuk mengetuai dan melatih ahli-ahlinya yang terdiri dari 30 orang Melayu. Pada tahun 1886 Baginda membeli peralatan music brass, alat tiup dan dram dari Syarikat Hawkes & Sons London untuk menyemarakkan semangat juang pasukan tentera yang baru ditubuhkan.
Pasukan pancaragam ini membuat persembahan di majlis perkahwinan anak-anak raja di Singapura, juga dalam temasya tari menari sempena perasmian Istana Tyersall kediaman Abu Bakar di Singapura pada tahun 1895. Pasukan ini pernah bertanding dengan pasukan pancaragam lain termasuk dari Eropah dan pancaragam regimen tentera yang berpangkalan di Singapura.
Pasukan ini diletak dibawah tetapi tidak menjadi sebahagian dari ATSNJ. Galistan dan Pegawai Pemerintah Tompkins tidak dapat kata sepakat. Bagi mengelakkan persengketaan Sultan Ibrahim meletakan pancaragam ini di bawah tadbir istana dan dipisahkan dari ATSNJ. Selepas persaraan Tompkins pasukan pancaragam dikembalikan dibawah kelolan ATSNJ dan dinamakan Pancaragam ATSNJ. Ahli pancaragam menjalani latihan tentera termasuk berkawad dan menembak.
Diatas titah Sultan Ibrahim pada tahun 1904 sebuah lambang rasmi direka untuk pasukan pancaragam ini. Lambang ini mengandungi sebilah keris bersilang dengan sebilah pedang yang bersambung dihulunya dengan gambir dan lada hitam, serta seru nya “Kepada Allah Berserah” dalam aksara Jawi. Sebuah mahkota menghiasi kemuncak lambang memberi makna kesultanan Johor menyesuaikan keilmuan barat (pedang) dan timur (keris) dalam pentadbiran negeri.
Pada hujung minggu pancaragam ini mempersembahkan muzik dan lagu-lagu di bandstand Bukit Bintang dalam kawasan Kebun Bunga Istana Besar. Dilapurkan pasukan ini memainkan muzik klasik dan semasa termasuk San Lorenzo (Silva), Humoresque, The Musical Switch (Alford), Thistle Down (Hennesey), Suite Looking Upwards (Sousa), One Step, Happy (P.W. Hembley), The Last Post, dan Regimental March Colonel Bogey. Kebolehan dan kejayaan pancaragam ini bukan sahaja mencerminkan kemahiran Galistan bahkan menghapuskan anggapan bahwa orang Melayu tidak berkebolihan memainkan muzik barat dan klasik.
Pasukan Pancaragam mengandungi 35 anggota memainkan Lagu Bangsa Johor empat kali dalam istiadat itu:
- Ketika menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku.
- Semasa pasukan kawalan kehormatan memberi tabik Hormat Diraja selepas DYMM Tunku tamat pemeriksaan perbarisan.
- Sebelum DYMM Tuanku bersemayam di atas takhta.
- Sebelum DYMM Tuanku berangkat balik menandakan tamat majlis.
Selain dari itu seramai 50 pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATSNJ bertugas semasa Majlis Jamuan Teh Rakyat yang diadakan disebelah petang di Dataran Bandaraya. Pancaragam ATSNJ menyambut keberangkatan tiba dan balik DYMM Tuanku dengan Lagu Bangsa Johor. Pancaragam turut menghiburkan majlis dengan lagu-lagu pilihan.

LAGU BANGSA JOHOR
Galistan menggubal Lagu Johor sebagai lagu negeri, tanpa seni kata. Pada tahun 1910 Herbert A. Courtney pengurus Hong Kong and Shanghai Bank di Johor Bahru pada masa itu menulis senikata dalam bahasa Inggeris dan diberi nama “God Save the Sultan” (Lagu Selamat Sultan). Dato’ Hj. Mohd Said Pegawai Staf ATSNJ dibantu oleh Dram Mejar Abdul Rahim bin Abdul Karim menterjemahkan senikata itu kedalam bahasa Melayu. Pada tahun 1915 Sultan Ibrahim berkenan lagu itu dinamakan Lagu Bangsa Johor.
Lagu Bangsa Johor dimainkan oleh pancaragam ATSNJ semasa menyambut keberangkatan tiba dan keberangkatan balik DYMM Sultan Johor di istiadat diraja serta majlis istiadat rasmi kerajaan. Lagu Bangsa Johor dimainkan separuh untuk Pemangku Raja atau wakil rasmi DYMM Tuanku dalam istiadat diraja atau istiadat kerajaan.
Apabila Galistan bersara tempatnya diambil alih oleh Dram Mejar Awang bin Yahya sehingga akhir Peperangan Dunia Pertama. Selepas itu Lt. Ralph Victor Samuel Wright ketua pancaragam Singapore Regiment dilantik sebagai pemimpin pancaragam. Setelah menambah peralatan muzik beliau menyusun semula pancaragam dengan mengadakan brass band, bahagian tiupan, bagpipes dan accordion, peralatan talian dan begul. Kesemua peralatan muzik itu dirampas oleh tentera Jepun. Pasukan pancaragam kemudiannya dibubarkan.
Pada 1 April 1978 DYTM Tunku Mahmood Iskandar Raja Muda (kemudian Sultan Iskandar) menghidupkan semula pasukan pancaragam ATSNJ diketuai oleh Warrant Officer Mohamad bin Jonid. Setelah beberapa tahun ketiadaan pancaragam ini tampil semula kali pertama semasa perayaan Hari Merdeka pada 31 Ogos 1979. Pasukan pancaragam ini bermain muzik di Bukit Bintang setiap hujung minggu pada awal 1980an.
Tidak berapa lama kemudian Mejar Anuar bin Alaidin dilantik sebagai Pengarah Muzik ATSNJ dan keahlian 35 orang dan dua orang pegawai. Penglibatan dan dorongan raja dan kerabat diraja menyemarakkan lagi prestasi dan persembahan pancaragam.
Pada tahun 1983, 1984 dan 1985 Pancaragam ATSNJ mengiring dan mengambil bahagain dalam istiadat sambutan ulangtahun hari keputeraan DYMM Sultan Kelantan. Pancaragam ini pernah diundang membuat persembahan di Majlis Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur.
Rujukan:
- Dato’ Hj.Mohd Said bin Sulaiman “Hikayat Johor Yang Kedua”
- Black and White London May 7 1892 “Some Famous Drums”
- The Straits Times 16 December 1926 “Music at Johor Bahru”
- The Straits Times 16 September 1935 “Mr. Galistan’s Band, Malay Performers 25 Years Ago”
- Lagu Bangsa Johor – Dicetak oleh Jabatan Cetak Kerajaan Johor 1959 Ibu Pejabat ATSN

